Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:45am

63 ditahan Ops Bersepadu Cegah Jenayah Khas

KAJANG: Seramai 63 warga asing, termasuk seorang kanak-kanak ditahan menerusi Ops Bersepadu Cegah Jenayah Khas di kawasan Venice Hill, dekat sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu dilakukan Polis Daerah Kajang bersama Jabatan Imigresen, susulan aduan daripada penduduk Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata tangkapan membabitkan 48 warga Nigeria termasuk dua wanita; 11 wanita warga Thailand; dua wanita Filipina; seorang wanita Vietnam dan seorang kanak-kanak.

“Daripada 63 yang ditahan itu, 21 disyaki terbabit dengan jenayah ‘parcel’ dan ‘love scam’, tujuh lagi di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala selebihnya dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

“Operasi ini membabitkan seramai 198 pegawai dan anggota termasuk 54 anggota dari Jabatan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X