Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:42pm

Pendakwaan belum serah notis lucut hak kepada ibu Jho Low

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara belum dapat menyerahkan notis usul bagi melucut hak harta kepada ibu ahli perniagaan Low Taek Jo atau dikenali sebagai Jho Low.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain, berkata pihaknya belum dapat menyerahkan kertas kausa itu kepada Goh Gaik Ewe selaku responden ke-13.

Peguam M Puravalen bagaimanapun memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, bahawa Gaik Ewe iaitu anak guamnya kini berada di luar negara.

Puravalen berkata, beliau selaku peguam yang dilantik diberi kuasa untuk menerima notis berkenaan.

Muhammad Shukri kemudian turut meminta mahkamah memberikan masa bagi membolehkan pihaknya menyempurnakan penyerahan notis sama kepada beberapa individu lain.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan pada 30 Mei depan bagi pengurusan kes.

Sementara itu, Mohamed Zaini membangkitkan kebimbangan berlakunya konflik kepentingan jika beliau turut mendengar permohohan notis usul itu yang turut menamakan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai responden.

Ia adalah kerana beliau juga akan mendengar perbicaraan kes rasuah membabitkan Rosmah.

Puravalen kemudian memberitahu mahkamah, beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi berasingan, pendakwaan memaklumkan pihaknya sudah memfailkan notis usul baharu kepada Obyu Holding Sdn Bhd bagi tambahan harta iaitu cincin berlian emas putih bernilai RM6,200.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai ini bagi pengurusan kes permohonan itu.

Pada 7 Mei lalu, Pejabat Peguam Negara memfailkan notis usul melucut hak harta bersabit ratusan beg tangan pelbagai jenama, mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta, banglo dan hartanah yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rosmah dan tiga anak mereka, 13 individu serta syarikat.

Melalui notis usul itu, Pendakwa Raya memohon perintah mahkamah supaya disiarkan satu notis dalam warta di mengikut Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut kepentingan terhadap harta dirampas daripada semua responden, untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ia bertujuan bagi pihak ketiga menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak harus dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Berita Harian X