Jumaat, 17 Mei 2019 | 6:15pm
DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas daripada pasangan kekasih selepas ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Kelibang. - Foto ihsan PDRM

Pasangan kekasih edar dadah ditahan

LANGKAWI: Polis menahan pasangan kekasih yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekatan Jalan Kelibang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis menahan sebuah kereta jenis PROTON Wira dinaiki pasangan itu pada jam 2 pagi.

“Pasangan kekasih berusia 24 dan 20 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan sejurus ditahan di sekatan jalan raya berhampiran sebuah restoran.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 30 gram dan sembilan paket lutsinar mengandungi syabu seberat lima gram,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ujian air kencing mendapati pasangan berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain menghisap dadah, siasatan awal mendapati mereka disyaki turut terbabit dalam aktiviti pengedaran bahan terlarang itu sekitar Langkawi.

“Kedua-dua suspek tidak bekerja, namun semakan mendapati mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X