Sabtu, 18 Mei 2019 | 3:46pm
Ainul Atiya dan adiknya, Irdina menunjukkan gambar ibunya, Faziani yang maut dalam kemalangan di Pattani, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh, Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mama pesan jangan bergaduh, rebut harta

TUMPAT: “Baru-baru ini, mama berpesan kepada semua lapan anak termasuk empat anak tiri serta adik-beradik supaya tidak bergaduh dan jangan berebut harta dunia, sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadapnya.”

Demikian kata anak tiri kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand, pagi tadi.

Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, berkata ibu tirinya yang dipanggil ‘mama’ juga meluahkan rasa seolah-olah semakin dekat dengan arwah bapanya dan membayangkan jika meninggal dunia nanti.

“Sahur pagi tadi, mama tidak bercakap banyak dan kelihatan agak letih kerana baru pulang dari Jakarta, Indonesia, petang semalam, atas urusan perniagaannya.

“Pagi tadi pula mama terus ke Pattani bersama papa, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, kira-kira jam 7 pagi.

“Selalunya mereka dibawa oleh pemandu tapi hari ini papa sendiri yang ingin memandu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Kampung Paloh, di sini, hari ini.

Ainul Atiya berkata, arwah kerap ke Pattani untuk menyampaikan sumbangan zakat serta berjumpa dengan pihak pengurusan di sana, untuk bertanyakan sebarang keperluan yang diperlukan.


Faziani (gambar kecil) maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand. - Foto ihsan pembaca

Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi (waktu tempatan), kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu Ahmad Shah Rizal merempuh sebuah lori.

Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.

Difahamkan jenazah sedang dibawa pulang ke kampung halaman dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit, petang ini.

Seorang lagi anak arwah, Irdina Hakim Jasman, 16,, berkata dia sempat bertemu ibunya ketika berbuka puasa beramai-ramai di rumah neneknya di Wakaf Bharu, malam tadi.

“Malam tadi juga kami menikmati colek di sebuah kedai makan di sini kerana ramai ahli keluarga berkumpul dan arwah mengajak makan beramai-ramai.

“Saya tidak bersahur pagi tadi dan tidak sempat berjumpa mama kerana mereka bertolak lebih awal daripada biasa ke Pattani,” katanya.

9015 dibaca
Berita Harian X