Sabtu, 18 Mei 2019 | 5:28pm
Iqbar Hakim bersama arwah Faziani. - Ihsan IG Iqbar Hakim
Iqbar Hakim turut menitipkan pesanan kepada mana-mana pihak supaya menuntut hutang jika arwah ibunya ada berhutang. - Ihsan IG Iqbar Hakim

Minta doakan mummy saya - Anak sulung Faziani

KOTA BHARU: “Ini ujian berat untuk saya, namun saya perlu kuat demi tujuh adik-adik.

“Saya mewakili arwah mummy (ibu) meminta ampun andai ada salah silap,” kata Iqbar Hakim Jasman, 20, anak sulung kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand, pagi tadi.

Iqbar Hakim yang memuat naik video dan status di laman sosial Instagram itu turut meminta orang ramai sedekah al-Fatihah kepada ibunya.

“Assalamualaikum kepada semua. Saya baru kehilangan bonda kesayangan saya disebabkan kemalangan dan saya kini dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Kepada semua, minta sedekah al-Fatihah kepada mama saya dan semoga ditempatkan di kalangan orang beriman.

“Arwah kemalangan di Pattani dalam perjalanan menuju ke sebuah pondok untuk selesaikan zakat,” katanya sambil menangis.

Iqbar Hakim turut menitipkan pesanan kepada mana-mana pihak supaya menuntut hutang jika arwah ibunya itu ada berhutang dengan mereka.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi (waktu tempatan), kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, merempuh sebuah lori.

Akibat rempuhan itu, Faziani tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya itu cedera.

8372 dibaca
Berita Harian X