Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:24pm
Irdina ditenangkan ahli keluarga sebaik jenazah ibunya, Allahyarham Faziani tiba di Kampung Paloh. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Jenazah Fauzani yang dibawa dari Hospital Pattani, Thailand tiba di kediamannya pada jam 6 petang. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
- NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Faziani (gambar kecil) maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand, pagi tadi. - Ihsan Pembaca

Tahlil untuk diri sendiri

TUMPAT: Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, sempat menjemput pelajar dari Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kampung Menjual untuk mengaji di kediamannya selama 40 hari bermula hari ini.

Setiausaha Sulit mudir madrasah berkenaan, Al Fatas Yasmi, berkata selain mengimarahkan bulan Ramadan, ia juga sebagai tahlil untuk arwah bapanya yang meninggal dunia pada bulan Ramadan lebih 15 tahun lalu.

“Arwah menjemput seramai 30 pelajar dari madrasah ini untuk mengaji di rumahnya di sini selama 40 hari bermula hari ini di samping mengadakan majlis tahlil.

“Rupa-rupanya tahlil ini nanti bukan saja untuk bapanya yang meninggal di bulan Ramadan lama dulu tapi dirinya sendiri (Faziani),” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Kampung Paloh, di sini hari ini.

Al Fatas berkata sudah empat tahun pengasas kosmetik itu memberi sumbangan kepada madrasahnya dalam bentuk makanan, keperluan serta kewangan.


Anak sulung Allahyarham Faziani, Iqbar Hakim Jasman (tengah) bersama adiknya Irdina Hakim, 16. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, Faziani dilihat agak kelam kabut menyelesaikan urusan sedekah membabitkan beberapa pondok seperti sudah dapat mengagak ajalnya bakal tiba.

“Saya ada berbual dengan pembantu arwah yang memberitahu Faziani ingin mempercepatkan segala urusan sedekahnya kepada semua badan kebajikan, pondok dan individu.

“Beberapa hari kebelakangan ini arwah dilihat berkelakuan agak pelik dari biasa di mana ingin selesaikan segala urusan sedekah dan infaq sekali gus.

“Kami memang sangat terkejut dengan musibah yang melanda beliau, bagaimanapun pemergiannya adalah pada bulan yang baik,” katanya.

Jenazah Fauzani yang dibawa dari Hospital Pattani, Thailand tiba di kediamannya pada jam 6 petang diiringi suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, dengan menaiki van jenazah.

Jenazahnya akan dimandi dan disolat jenazah di rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit di sini, malam ini.

10719 dibaca
Berita Harian X