Isnin, 20 Mei 2019 | 6:27pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Kachi, Changlun, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

Pelajar UUM maut kereta bertembung lori

JITRA: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut akibat tersepit apabila kereta dipandunya remuk teruk selepas bertembung sebuah lori tanah di Jalan Bukit Kachi, Changlun, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, Insyirah Az-zahra Mohd Jasni, 21, dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus UUM di Sintok, sebelum kereta Perodua Kenari dipandunya bertembung lori berkenaan yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Shamsari Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan jam 2.58 petang sebelum menghantar sepasukan tujuh anggota yang tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

6510 dibaca
Berita Harian X