Isnin, 20 Mei 2019 | 6:43pm
Video yang viral menunjukkan seorang anggota polis cuba membantu menyelesaikan situasi tiga lelaki yang cuba menarik kereta seorang wanita dekat MITEC, Kuala Lumpur.

Wanita nyaris jadi mangsa 'penarik kereta'

KUALA LUMPUR: Seorang wanita hampir menjadi mangsa tiga lelaki yang mendakwa dia tidak membayar ansuran kenderaan miliknya selama 19 bulan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata dalam kejadian pada 17 Mei lalu, wanita berusia 32 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon dari nombor tidak dikenali.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pemanggil memaklumkan kononnya kereta mangsa menghalang laluan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta memintanya mengalihkan kenderaan berkenaan.

“Wanita itu yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mendapati tiga lelaki berada di sebelah kenderaannya bersama trak tunda sambil memberitahu dia ada tunggakan ansuran kereta itu selama 19 bulan.

“Mangsa cuba menghubungi pihak bank untuk mendapatkan kepastian, namun dihalang lelaki terbabit. Rakan wanita berkenaan kemudian menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

“Anggota yang tiba, meminta kedua-dua pihak ke balai polis untuk membuat laporan, namun ketiga-tiga lelaki berkenaan gagal hadir ke balai,” katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit memberitahu tidak pernah menerima sebarang notis daripada pihak bank mengenai tunggakan atau surat untuk menarik balik kereta itu.

Katanya, polis sudah mengenal pasti identiti tiga lelaki itu dan usaha menahan mereka sedang dilakukan bagi menyelesaikan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Rakaman video berhubung kejadian itu turut viral di media sosial, dipercayai dirakam wanita terbabit.

Berita Harian X