Selasa, 21 Mei 2019 | 11:38am

Kelantan tarik balik saman terhadap PETRONAS melalui notis 13 Mei

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan menarik balik saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung tuntutan royalti minyak, sekali gus menyelesaikan kes yang difailkan sejak 2010 itu.

Peguam, Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan negeri itu, berkata pihaknya sudah menarik balik saman melalui notis untuk tidak meneruskan tuntutan berkenaan pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang arahan berhubung kes saman sama yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan selaku defendan kedua.

Aleeya Elyana berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes saman terbabit di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, yang turut dihadiri Peguam Persekutuan, Siti Asmath Che Man.

Prosiding dijalankan di kamar Hakim Datuk Ahmad Bache.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan memfailkan saman dengan menamakan PETRONAS sebagai defendan kerana mendakwa syarikat itu melanggar kontrak pembayaran royalti kepada plaintif (Kelantan) berhubung pendapatan minyak.

Kerajaan Kelantan menuntut PETRONAS membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Dalam penyataan tuntutan, kerajaan negeri itu juga menuntut bayaran ganti rugi dengan kos, namun tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap PETRONAS.

Kerajaan negeri itu berkata, Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975 jelas tertera PETRONAS harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha cari gali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.

Katanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada/atau sebelum 1 Mac dan pada/atau sebelum 1 September.

Dalam saman itu, Kerajaan Kelantan menamakan PETRONAS sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan kemudian berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Kes saman itu sebelum ini masih berlarutan pada peringkat permohonan interlokutori dengan Kerajaan Kelantan memohon untuk memasukkan 14 persoalan dan isu undang-undang dalam kes saman terbabit.

Pada Julai 2014, Mahkamah Persekutuan memutuskan supaya kes saman berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan melalui isu perundangan mengikut Kaedah 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dilaporkan sebagai berkata pihaknya menarik balik saman itu kerana yakin terhadap ketetapan dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mengagihkan royalti kepada kerajaan negeri.

Berita Harian X