Selasa, 21 Mei 2019 | 4:23pm
Mohd Hamizi (kiri) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang media di IPD Tuaran, hari ini. - NSTP/Recqueal Raimi
Mohd Hamizi (kiri) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang media di IPD Tuaran, hari ini. - NSTP/Recqueal Raimi

11 'kaki lalok' kena cekup

TUARAN: Polis menahan 11 individu disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini melalui operasi khas, Ops Sarang, bermula 13 Mei lalu dan berakhir pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi itu dilancarkan susulan maklumat risikan terhadap beberapa lokasi di sekitar daerah ini yang dikenalpasti menjadi sarang dadah.

“Selain Taman Telipok Ria, operasi yang membabitkan kerjasama sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah turut melakukan serbuan di Kampung Berungis.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah, manakala 10 lagi warga tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Keseluruhannya, polis merampas 505.88 gram dadah jenis syabu bernilai RM25,313 mengikut nilai pasaran semasa.

Mohd Hamizi berkata, lelaki warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki mengedar dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Seramai 10 lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Berita Harian X