Rabu, 22 Mei 2019 | 4:19pm
Mangsa kebakaran, Harizah Mohamad, 32, (kiri) bersama dua anaknya melihat tapak rumah musnah dalam satu kebakaran, di Kampung Belaoh, Keruak. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Api lilin musnahkan kediaman

JERTIH: Empat beranak hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Belaoh, Keruak, di sini, musnah dalam kebakaran petang semalam, dipercayai berpunca daripada api lilin yang digunakan untuk bermain bunga api.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, Harizah Mohamad, 32, keluar mencari juadah berbuka, manakala ibunya, Zaharah Hassan, 70, dan dua anaknya, Nur Aisyah Shahfia Mohd Ismail, 8, dan Nur Dayana Qistina Mohd Ismail, 6, berada di rumah.

Sebelum keluar dengan menunggang motosikal, Harizah mendakwa melihat dua anaknya itu membaca buku dan mewarna di beranda rumah.

Bagaimanapun, dua beradik itu dipercayai berjalan ke kedai berhampiran untuk membeli bunga api ketika ketiadaannya sebelum kejadian.

“Mengikut apa diceritakan mereka, selepas menyalakan lilin untuk bermain bunga api di bawah rumah, mereka tidak menyedari lilin berkenaan bergolek lalu membakar kayu reput berhampiran.

Mangsa kebakaran, Harizah Mohamad, 32, (dua dari kiri) bersama dua anaknya melihat tapak rumah yang musnah dalam satu kebakaran di Kampung Belaoh, Keruak. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan api merebak dengan cepat. Saya hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan jiran ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli juadah berbuka.

“Saya hanya teringatkan mereka bertiga dan bersyukur mereka selamat, walaupun bersedih kehilangan tempat tinggal apatah lagi ketika Aidilfitri hampir menjelang,” katanya ketika ditemui.

Harizah yang juga ibu tunggal berkata, kebakaran menyebabkan mereka menanggung kerugian lebih RM50,000 dan semua dokumen peribadi, kelengkapan sekolah serta peralatan rumah tidak sempat diselamatkan.

“Aidilfitri kurang dua minggu lagi, tetapi kami diuji dengan kejadian ini. Sedih memang sedih, apatah lagi kami bukan orang senang. Sudah 40 tahun menetap di sini, kini semuanya musnah,” katanya yang berniaga makanan.

Sementara itu, Zaharah berada di bilik air sebelum terdengar jeritan dua cucunya memaklumkan api menyambar rumah.

“Saya bergegas keluar rumah menerusi pintu belakang dan perasan api marak di depan rumah sebelum berlari ke tepi jalan bersama dua cucu untuk menyelamatkan diri, ” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jertih, Hanaffi Mohd, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6 petang sebelum satu jentera dengan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Berita Harian X