Rabu, 22 Mei 2019 | 8:21pm
SYAFIQ Haiqal putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun dalam kejadian di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, petang semalam. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
SYAFIQ Haiqal putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun dalam kejadian di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, petang semalam. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Syafiq Haiqal diberi kaunseling

KUALA TERENGGANU: Pelajar Tingkatan Satu, Syafiq Haiqal Shaharrudin, yang hilang lima jari tangan kanannya akibat terkena letupan mercun di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut akan diberikan kauseling bagi memulihkan emosi dan semangatnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, rawatan terhadap Syafiq Haiqal tidak hanya bertumpu kepada tangannya yang cedera parah tetapi juga emosi pelajar berkenaan yang kini mengalami kecacatan anggota tangan.

“Selain pembedahan dan rawatan tangannya, kita kena ambil kira emosi pelajar itu dengan rawatan psikologi dan rehabilitasi pelajar itu.

“Buat masa ini, keadaan Syafiq Haiqal stabil. Dia boleh memberi respon dan menceritakan kejadian itu cuma kita tidak mahu terlalu memaksa dia kerana bimbang akan memberi kesan kepada emosinya.

“Selain memberi kaunseling kepadanya, kita sudah merujuk kes Syafiq Haiqal ke Jabatan Rehabilitasi di Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk membantunya pulih akibat kecederaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas mengenai pembedahan amputasi yang dijalani Syafiq Haiqal semalam, Dr Mohd berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keadaan mangsa memandangkan lukanya masih baru.

“Luka pun belum sembuh dan kita memerlukan masa untuk melihat perkembangan mangsa sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada menggunakan tangan palsu atau sebaliknya.

“Jika dilihat keadaannya, dia mungkin perlu menggunakan tangan palsu namun semua itu bergantung kepada luka mangsa.

“Fokus kita ketika ini supaya lukanya segera sembuh selain berharap emosinya stabil akibat insiden malang itu,” katanya.

Dalam kejadian 5.30 petang kelmarin, Syafiq Haiqal putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun bersama adiknya, Shahrul, 10, dan lima sepupu di rumah mereka di Kampung Kubang Ikan, Jertih.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, sedang memasak untuk berbuka puasa sebelum dimaklumkan oleh sepupu Syafiq Haiqal dan mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X