Rabu, 22 Mei 2019 | 11:44pm
VIDEO yang tular menunjukan tindakan kejam seorang lelaki menembak seekor monyet menggunakan pistol.

Polis, PERHILITAN cari lelaki kejam tembak monyet

KUALA LUMPUR: Polis sudah menerima laporan berhubung satu video viral memaparkan tindakan kejam seorang lelaki menembak seekor monyet yang terkurung dalam sangkar menggunakan pistol, awal pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan itu diterima pada jam 1.21 pagi, namun tidak mendedahkan pihak yang membuat laporan berkenaan.

“Susulan itu, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 29 Akta Senjata Api 1960 iaitu penggunaan senjata api pada tempat yang tidak dibenarkan dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan.

“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan dan kita percaya perbuatan itu dilakukan oleh seorang lelaki tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan video berdurasi 21 saat itu viral di media sosial sejak 17 Mei lalu, selepas ia dikongsi oleh sebuah portal hiburan tempatan.

Pada awal rakaman video berkenaan, kedengaran lelaki itu bercakap dengan monyet terbabit ‘aku kira sampai tiga, kalau kau tak cakap baby sayang, aku tembak kau’ sebelum membuat kiraan 1, 2 dan 3 dan menembak monyet malang berkenaan tanpa belas kasihan.

Rata-rata netizen turut mengecam perbuatan lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi satu ciapan dan bebenang di laman Twitter semalam, memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sama.

“PERHILITAN memandang serius terhadap sebuah video yang mula tular sejak semalam (kelmarin) yang memaparkan seorang individu disyaki telah ‘menembak’ seekor beruk yang diletakkan di dalam sangkar.

“PERHILITAN sedang menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan video ini dan siasatan juga dijalankan di bawah peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1010 (Akta 716) kerana perlakuan zalim ke atas hidupan liar,” katanya.

Jabatan berkenaan turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi mereka dengan kadar segera bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan aduan di laman sesawang rasmi jabatan itu di http://www.wildlife.gov.my atau menghubungi Ibu Pejabat PERHILITAN di talian 03-90866800.

3788 dibaca
Berita Harian X