Khamis, 23 Mei 2019 | 12:16am

Reman wanita Nigeria, lelaki Pakistan dilanjutkan 7 hari

KUALA LUMPUR: Tempoh reman ke atas seorang wanita warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan yang ditahan berhubung pembunuhan ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, dilanjutkan tujuh hari lagi bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 35 dan 38 tahun akan direman tujuh hari lagi sehingga 29 Mei ini.

Katanya, polis turut akan membuat permohonan melanjutkan tahanan reman ke atas seorang lagi suspek yang juga suspek utama kes itu, pagi ini.

“Permohonan reman lanjut ke atas lelaki Nigeria itu akan dibuat esok (hari ini) di Mahkamah Sepang pada jam 10.30 pagi.

“Siasatan kes ini masih lagi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

BH sebelum ini melaporkan, suspek wanita warga Nigeria dan lelaki Pakistan itu direman selama tujuh hari sehingga semalam, selepas ditahan pada Rabu lalu dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Dalam serbuan pertama, polis menahan suspek wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi, sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini, sejam selepas itu.

Suspek ketiga yang juga suspek utama, warga Nigeria berusia 36 tahun ditahan di sebuah kafe di pusat beli-belah Cheras Sentral, Cheras, Khamis lalu, sebelum direman tujuh hari sehingga hari ini.

Siti Kharina yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

Sebelum itu, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada jam 4 petang, 8 Mei lalu.

3612 dibaca
Berita Harian X