Khamis, 23 Mei 2019 | 12:00pm

Suspek kes bunuh jururawat disambung reman

SEPANG: Tempoh reman terhadap lelaki Nigeria yang juga suspek utama dipercayai terbabit dengan pembunuhan ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula esok.

Perintah reman dikeluarkan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho sehingga 30 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek berbaju denim biru, tiba di Mahkamah Sepang di sini pada jam 11.10 pagi tadi dengan kenderaan polis dalam keadaan tangan bergari.

Suspek yang berusia 36 tahun sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 17 Mei lalu.

Dia ditahan sehari sebelumnya kira-kira jam 3.30 petang di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, Cheras, kira-kira 24 jam selepas penemuan mayat Siti Kharina.

Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar dari kediaman mangsa.

Sementara itu, tempoh reman ke atas seorang wanita warga Nigeria berusia 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 38 tahun yang ditahan berhubung kes itu juga dilanjutkan tujuh hari lagi bermula semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, semalam.

Mereka sebelum itu direman selama tujuh hari bermula 16 Mei lalu.

Siti Kharina, 40, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam sebuah unit kondominium disewanya dekat Cyberjaya.

Mayatnya ditemui pemilik rumah sewa berkenaan, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.

1122 dibaca
TEMPOH reman terhadap lelaki Nigeria yang juga suspek utama dipercayai terbabit dengan pembunuhan ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula esok.
Berita Harian X