Khamis, 23 Mei 2019 | 3:26pm
Dadah jenis methamphetamine dan ketamin seberat lebih 3 kilogram dianggarkan bernilai RM160,000 dirampas susulan tangkapan ke atas dua lelaki di dua lokasi berasingan di sekitar Cheras, semalam. - Ihsan PDRM
Dadah jenis methamphetamine dan ketamin seberat lebih 3 kilogram dianggarkan bernilai RM160,000 dirampas susulan tangkapan ke atas dua lelaki di dua lokasi berasingan di sekitar Cheras, semalam. - Ihsan PDRM

Dua pengedar ditahan, dadah RM160,000 dirampas

KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang warga Iran ditahan bersama lebih tiga kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan ketamin dianggarkan bernilai lebih RM160,000 dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Cheras di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Taman Shamelin Perkasa.

“Dalam tangkapan jam 3.50 petang itu, kita merampas sebuah beg dibawanya dan pemeriksaan menemui dua paket plastik disyaki berisi dadah jenis Methamphetamine dengan berat kira-kira 2kg dianggarkan bernilai RM111,100.

“Semakan mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah pada 2008 dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki Iran di perkarangan lobi sebuah pusat beli-belah di Jalan Peel, kira-kira jam 8 malam.

“Pemeriksaan dalam satu beg kertas dibawa suspek menemui dua paket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin kira-kira sekilogram dianggarkan bernilai RM61,485.

“Semakan ke atas suspek berusia 27 tahun dan tidak bekerja itu mendapati tiada sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing positif dadah jenis ketamin serta amphetamine,” nya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kedua-dua suspek kini direman enam hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan dan dadah berkenaan pula untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Berita Harian X