Khamis, 23 Mei 2019 | 4:40pm
Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali Acap dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu.
Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali Acap dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu.

Bomba adakan rondaan berkala cari Acap

IPOH: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih melakukan rondaan berkala di sekitar lokasi Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali Acap hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19), dua bulan lalu.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu, berkata pihaknya juga masih menerima kunjungan daripada orang ramai yang mahu membantu mencari Acap.

“Walaupun pos kawalan bomba yang dibuka di Kampung Pintu Padang di situ sudah ditutup, bagi kes Acap ini kita masih lagi meneruskan rondaan secara berkala.

“Saya dimaklumkan ada orang awam datang ke balai bomba memberitahu mereka ada petunjuk dan mengatakan mereka sendiri mengetahui bagaimana untuk mendapatkan Acap. Kita mengalu-alukan namun setakat ini usaha yang kita lakukan itu belum berhasil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yunus berkata, bomba masih lagi berhubung dengan keluarga mangsa untuk bagi mendapatkan sebarang maklumat tertentu dan berharap kerjasama dan maklumat orang awam boleh membantu usaha mencari dan merungkai kehilangan Acap.

“Kita juga berharap masyarakat tidak sewenang-wenangnya menggunakan maklumat tidak sahih seperti berdasarkan mimpi, gambaran, suara yang tidak diketahui dari siapa yang mengatakan keberadaan Acap di sesuatu tempat yang tidak pasti seperti di tepi batu dan pokok besar kerana maklumat itu menyukarkan bomba untuk melakukan pencarian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim ketika dihubungi, memaklumkan tiada perkembangan terbaru berhubung kes kehilangan Acap.

“Lokasi kejadian kini menjadi kawasan rondaan pencegahan jenayah,” katanya.

Acap dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu selepas tidak menamatkan lariannya pada Gopeng Ultra Trail sebelum rakannya membuat laporan polis bagi membolehkan operasi mencari dijalankan.

Operasi mencari dijalankan keesokannya namun gagal menemui sebarang petunjuk sebelum polis dan bomba memberhentikan operasi pada 17 April lalu bagi membolehkan penduduk melakukan pencarian.

Pasukan pencarian di lokasi kehilangan Acap ada menemui serpihan tulang sebelum ia disahkan milik manusia oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 22 April lalu.

Selepas disahkan tulang lama milik manusia, serpihan itu sudah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor, untuk padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan akan diperoleh dalam masa sebulan hingga dua bulan.

Berita Harian X