Khamis, 23 Mei 2019 | 9:56pm
SUSPEK utama kes kematian Siti Kharina disambung reman oleh Mahkamah Majistret Sepang bagi membantu siasatan. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Suspek bunuh Siti Kharina mungkin didakwa esok

SEPANG: Polis tidak menolak kemungkinan salah seorang suspek kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Kamarudin, akan didakwa esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya kini sedang menunggu arahan daripada pendakwa raya.

“Kita sudah selesaikan siasatan dan akan merujuk kes ini kepada pihak pendakwa raya. Dari tiga yang ditahan itu, kita akan dakwa seorang dan yang lain akan dijadikan sebagai saksi.

“Suspek kini masih dalam tahanan reman, kalau pendakwa raya kata kita boleh dakwa esok, maka kita akan pergi esok, jika tidak akan dakwa Isnin.

“Kita mahu ia (dakwa) secepat mungkin. Kemungkinan untuk dakwa esok itu ada, kita tidak menolak kemungkinan,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Surau Al Medina, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Ditanya mengenai motif pembunuhan, Noor Azam berkata buat masa ini pihaknya tidak mahu mendedahkan.

“Kita sudah dapat bukti kukuh, namun suspek sehingga kini tidak mahu mengaku dan mendedahkan hal berkenaan,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, suspek wanita warga Nigeria dan lelaki Pakistan direman selama tujuh hari sehingga semalam, selepas ditahan pada Rabu lalu dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang.

Suspek ketiga yang juga suspek utama, warga Nigeria berusia 36 tahun, ditahan di sebuah kafe di pusat beli-belah di Cheras, Khamis lalu, dan direman selama tujuh hari.

Tempoh tahanan reman suspek disambung tujuh hari lagi bermula esok dan akan berakhir pada 30 Mei ini.

Siti Kharina yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

2863 dibaca
Berita Harian X