Ahad, 26 Mei 2019 | 11:14am
KEADAAN mayat yang dijumpai terapung di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat, pagi tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia

2 mayat ditemui terapung

JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan dua nelayan di Pulau Pisang sejak Khamis lalu, dipercayai hampir terjawab selepas dua mayat ditemui di perairan Batu Pahat dan Sungai Tampok, Benut, pagi tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, berkata mayat pertama dijumpai terapung di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat, pada jam 8.15 pagi tadi.

Beliau berkata, mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Zon Maritim Batu Pahat, kira-kira 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi nelayan terbabit dipercayai hilang.

“Mayat dipercayai seorang daripada dua mangsa hilang itu dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi tujuan pengecaman dan pengesahan keluarga mangsa sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, untuk bedah siasat.

“Mayat kedua pula ditemui terapung di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat daya Sungai Tampok pada jam 9.50 pagi tadi oleh nelayan tempatan yang turut menyertai pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, mayat kedua ditemui kira-kira tujuh batu nautika arah barat laut dari lokasi nelayan berkenaan dipercayai hilang.

“Mayat sedang dalam proses dinaikkan oleh anggota SAR dan akan dibawa ke jeti nelayan Ayer Baloi, Pontian, bagi tujuan pengecaman sebelum dihantar ke Hospital Pontian,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Khamis lalu, Mohd Khir Ismail, 36, dan rakannya, Yusni Mohd Yusof, 36, gagal dikesan selepas turun ke laut menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis.

Kedua-dua mereka dipercayai hilang selepas menaiki bot untuk menjaring ikan, selain mengambil stok air minuman dari sebuah kapal tersadai yang dilaporkan rosak di Pulau Pisang sejak awal Ramadan lalu.

Berita Harian X