Ahad, 26 Mei 2019 | 1:51pm
Pistol yang dirampas susulan penahanan dua beranak berhubung rakaman video menunjukkan tindakan kejamnya menembak monyet yang tular sejak beberapa hari lalu. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Kes tembak monyet: Dua beranak dibebaskan dengan jaminan polis

SERI MANJUNG: Dua beranak yang ditahan pada Rabu lalu susulan tular rakaman video menunjukkan tindakan kejam seorang lelaki menembak mati seekor monyet di dalam sangkar, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata dua beranak itu akan dibebaskan petang ini selepas semua proses berkaitan selesai.

Beliau berkata, siasatan dijalankan sudah hampir lengkap, namun kertas siasatan perlu dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Dua beranak terbabit akan diberi jaminan polis sehingga mendapat arahan untuk tuduh daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian berjaya menemui semula sangkar monyet itu di dalam sungai dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Bagaimanapun hingga kini, polis masih belum menemui bangkai monyet itu. Sangkar berkenaan adalah perangkap monyet dan haiwan ditembak itu dikatakan monyet liar yang terjerat masuk perangkap.

“Boleh dikatakan, motif kejadian adalah untuk menghapuskan monyet liar itu, namun suspek menggunakan pendekatan yang salah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua beranak terbabit ditahan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan, pada jam 9.20 malam Rabu lalu.

Remaja lelaki berusia 18 tahun bersama bapa berumur 54 tahun itu kemudian direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Tempoh reman itu berakhir, hari ini.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 19 saat memaparkan seorang lelaki menembak mati seekor monyet di dalam sangkar sehingga mengundang kecaman netizen.

Berdasarkan rakaman, lelaki itu meminta monyet terbabit memanggilnya ‘baby sayang’ dan menembak haiwan berkenaan selepas kiraan tiga, malah sempat menunjukkan kesan darah di lokasi kejadian.

Berita Harian X