Ahad, 26 Mei 2019 | 2:51pm
Seorang penoreh getah berusia 46 tahun dipenjara 12 tahun dan 10 sebatan terhadap tuduhan merogol anak tirinya berusia 13 tahun, di dalam bilik di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit, Machang pada 11 Mac 2019 lalu manakala bapa saudara mangsa berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap kesalahan melakukan kontak fizikal terhadap kanak-kanak yang sama di sebuah rumah di Kampung Kerawang, Machang antara Januari hingga Disember 2013 lalu. - Foto Zaman Huri Isa

Penoreh getah dipenjara 12 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

KOTA BHARU: Seorang penoreh getah dihukum penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol anak tirinya berusia 13 tahun, dua bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 46 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bapa saudara tiri mangsa yang juga adik tertuduh berusia 41 tahun, atas kesalahan dengan sengaja mencabul kanak-kanak itu pada 2013.

Mengikut pertuduhan, bapa tiri mangsa didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun 11 bulan di dalam bilik sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Machang, pada jam 6 petang 11 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bapa saudara tiri mangsa pula didakwa dengan sengaja mencabul mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di sebuah kampung di Machang, antara jam 4 hingga 6 petang, antara Januari hingga Disember 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dan keluarga miskin.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli, memohon hukuman penjara yang boleh memberi pengajaran terhadap tertuduh.

“Tertuduh dalam kes ini adalah bapa tiri dan bapa saudara (tiri) yang sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa, bukan mengambil kesempatan.

“Malah, mangsa dalam kenyataan impak mengaku masih trauma dan tertekan akibat kejadian itu,” katanya.

Berita Harian X