Ahad, 26 Mei 2019 | 6:28pm
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas susulan penahanan dua beranak berhubung rakaman video menunjukkan tindakan kejamnya menembak monyet yang tular sejak beberapa hari lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Proses siasatan kes tembak kejam monyet hampir selesai

SERI MANJUNG: Dua beranak yang ditahan susulan rakaman video memaparkan perbuatan kejam seorang lelaki menembak monyet yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata dua beranak terbabit dibebaskan petang tadi selepas semua proses berkaitan selesai.

Katanya, siasatan yang dijalankan hampir lengkap namun kertas siasatan perlu dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Dua beranak berkenaan akan diberi jaminan polis sehingga mendapat arahan pertuduhan dari Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Razarudin berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian berjaya menemui semula sangkar monyet berkenaan dalam sungai terbabit dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Bagaimanapun, sehingga kini polis masih belum menemui bangkai monyet berkenaan, manakala sangkar itu adalah perangkap monyet. Haiwan ditembak itu pula didakwa monyet liar yang terjerat masuk ke perangkap berkenaan.

“Boleh dikatakan motif kejadian (remaja lelaki menembak monyet) adalah untuk menghapuskan monyet liar berkenaan, namun suspek menggunakan pendekatan yang salah dalam tindakannya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, dua beranak berkenaan ditahan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan pada jam 9.20 malam, Rabu lalu.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu bersama bapanya yang berusia 54 tahun direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan tempoh reman itu berakhir hari ini.

Terdahulu, klip video berdurasi 19 saat itu memaparkan lelaki itu menembak monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu.

Lelaki itu meminta monyet berkenaan memanggilnya ‘Baby sayang’ sebelum menembak haiwan itu selepas kiraan tiga malah sempat menunjukkan kesan darah di situ.

334 dibaca
Berita Harian X