Isnin, 27 Mei 2019 | 12:02am
SUSPEK utama kes kematian ketua jururawat Hospital Serdang akan didakwa di Mahkamah Sepang, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Suspek utama kes bunuh ketua jururawat didakwa hari ini

KUALA LUMPUR: Lelaki Nigeria yang juga suspek utama kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin akan didakwa di Mahkamah Sepang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pertuduhan terhadap lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagaimanapun, katanya, lelaki warga Pakistan berusia 38 tahun dan wanita warga Nigeria berusia 35 tahun yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes sebelum ini akan dibebaskan dengan Bon Mahkamah di mahkamah sama hari ini.

“Suspek lelaki warga negara Nigeria berusia 36 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sepang pada 27 Mei (hari ini), jam 8.30 pagi.

“Manakala seorang wanita warga negara Nigeria, 35 tahun dan seorang lelaki warganegara Pakistan, 38 tahun akan dibebaskan dengan Bon Mahkamah. Bon akan disempurnakan di Mahkamah Sepang pada tarikh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Siti Kharina,40, yang hilang sejak 8 Mei lalu ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam sebuah unit kondominium disewanya dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.

Mayatnya ditemui pemilik rumah sewa berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.

Wanita terbabit datang ke situ untuk memeriksa rumahnya selepas Siti Kharina yang dikatakan membuat aduan mengenai kerosakan mesin basuh, gagal dihubungi.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi, 16 Mei lalu sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, sejam kemudian.

Kira-kira jam 3.30 petang hari sama, suspek utama warga Nigeria ditahan di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, Cheras.

Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar dari kediaman mangsa.

3606 dibaca
Berita Harian X