Isnin, 27 Mei 2019 | 11:07am
ALOWONLE Oluwajuwon Gilbert tiba di Mahkamah Majistret Sepang bagi pertuduhan kes kematian Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Khairuddin. - Foto Luqman Hakim Zubir

Warga Nigeria dituduh bunuh jururawat Siti Kharina

SEPANG: Seorang lelaki Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemui dalam unit kondominium dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, yang berkemeja dan seluar jeans sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho.

Tertuduh dilihat hanya mendiamkan diri dan tunduk sepanjang prosiding yang bermula kira-kira jam 9.50 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Alowonle didakwa menyebabkan kematian Siti Kharina, 40, di Tower 1, Third Avenue Kondominium, Cyberjaya, di sini, antara jam 12.41 pagi, 9 Mei hingga 2.30 petang, pada 15 Mei lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan, memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Siti Kharina, yang hilang sejak 8 Mei lalu ditemui meninggal dunia dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam unit kondominium disewanya dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.

Mayatnya ditemui pemilik rumah sewa berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi, 16 Mei lalu sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, sejam kemudian.

Suspek lelaki warga Nigeria itu pula ditahan kira-kira jam 3.30 petang hari sama di kafe pusat beli belah Cheras Sentral, Cheras.

Kronologi kes

12 Mei

- Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, dilaporkan hilang.

- Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina kali terakhir dilihat di tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.

- Mangsa memandu kereta berwarna putih.

13 Mei

- Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas.

14 Mei

- Polis menjalankan inkuiri berhubung kehilangan Siti Kharina dan mengklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.

15 Mei

- Keluarga Siti Kharina meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya ketua jururawat itu sudah ditemui.

- Mayat dipercayai Siti Kharina ditemui dalam unit kondominium di Cyberjaya

16 Mei

- Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria bagi membantu siasatan.

- Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan mayat wanita ditemui di Cyberjaya Siti Kharina.

17 Mei

- Suspek utama pembunuhan, seorang lelaki warga Nigeria, Aliwajuwom Gilbertalowonle, ditahan di Cheras Sentral.

- Lelaki Nigeria suspek utama pembunuhan Siti Kharina direman selama tujuh hari.

7460 dibaca
Berita Harian X