Rabu, 29 Mei 2019 | 3:15pm
SEORANG sukarelawan polis, Abdul Rahman Rosli dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur di kawasan semak Pantai Pak Amat, Pengkalan Chepa pada 04 Jun 2018 lalu. NSTP/Nor Fazlina Abdul Rahim

Sukarelawan polis dipenjara 16 tahun, 5 sebatan

KOTA BHARU: Seorang sukarelawan polis dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada Jun tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Rahman Rosli, 25, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun dan dua bulan di kawasan semak Pantai Pak Amat, Pengkalan Chepa, di antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi pada 4 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Shaharuddin Mohamad, memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum kerana ia kes pertama tertuduh.

Beliau berkata, tertuduh juga mempunyai seorang isteri dan seorang anak berusia setahun, selain dalam kes berkenaan tertuduh sendiri menyerah diri kepada pihak polis.

“Saya juga memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nurul Azuar Zulkifli, membantah cadangan berkenaan dan mahu hukuman dijalankan mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah dan proses rayuan tidak sesuai digunakan sebagai alasan menangguhkan hukuman.

Beliau turut memohon hukuman setimpal dikenakan kerana jenayah rogol adalah serius selain ketika kejadian tertuduh adalah sukarelawan polis dan seharusnya menunjukkan teladan yang baik.

“Dalam kes ini mangsa seorang perempuan bawah umur dan kes rogol akan memberi impak sepanjang hidup mangsa,” katanya.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan pelaksanaan penangguhan hukuman namun jumlah jaminan dinaikkan kepada RM20,000 berbanding RM15,000 dengan syarat rayuan difail hari ini.

Berita Harian X