Jumaat, 31 Mei 2019 | 6:45am
ANGGOTA bomba memeriksa keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Chendering, malam tadi. - Foto Zaid Salim

Wanita pengsan, baju raya musnah rumah terbakar

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita pengsan selepas terkejut melihat rumah pangsa didiaminya bersama suami dan tiga anak terbakar di Chendering, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu turut menyebabkan segala persiapan menyambut Aidilfitri termasuk pakaian raya keluarga itu hangus apabila 45 peratus kediamannya termasuk sebuah bilik terbakar.

Mangsa, Tuan Norlida Tuan Ariffin, 27, yang sebelum itu membantu ibu saudaranya berniaga di Bazar Ramadan Kuala Ibai, pengsan sebaik tiba di rumahnya kira-kira jam 10 malam.

Suaminya, Mohd Khaizuwan Oslan Ariffin, 30, berkata isterinya kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh penduduk rumah pangsa berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga anak, Muhammad Akil, 1; Nur Tihani, 7, dan Muhammad Akid, 8, tiada di rumah.

“Selepas berbuka puasa, saya menghantar anak ke rumah datuk mereka di Kampung Raja, Chendering manakala saya ke tempat kerja di kedai membuat bingkai cermin di Kampung Kubang Ikan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Mohd Khaizuwan berkata, semua persiapan Aidilfitri termasuk pakaian raya anak-anaknya hangus.

“Saya baru beli pakaian mereka kira-kira seminggu lalu dan semuanya hangus dengan kerugian dianggarkan hampir RM10,000 kerana selain pakaian terdapat juga barangan lain dalam bilik itu.

“Tak tahulah macam mana anak-anak hendak sambut raya tahun ini. Nampaknya tahun ini kami beraya dalam kesedihan. Apa pun, kami reda dengan ujian Ilahi dan mujur hanya bilik sahaja yang terbakar teruk,” katanya.

Saksi kejadian, Che Ku Adam Malik Che Ku Ron, 35, berkata, dia yang tinggal berjiran menyedari kejadian itu selepas terbau asap seperti orang membakar sampah dan terdengar bunyi cermin pecah lalu keluar rumah untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik keluar rumah saya dapati bilik rumah jiran terbakar dan segera berusaha memadamkan api yang marak menggunakan air daripada paip di rumah saya sebelum dibantu dua penduduk,” katanya yang juga anggota Emergency Rescue Team (ERT) di Istana Syarqiyyah, Chendering.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 9.50 malam sebelum 24 pegawai dan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba mengambil masa enam minit untuk memadamkan kebakaran bilik berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X