Ahad, 2 Jun 2019 | 11:35am

Tak sempat tiba di Kedah, maut digilis kenderaan

HULU SELANGOR: Seorang pemuda tidak sempat tiba ke kampung halamannya di Pokok Sena, Kedah, apabila maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 426.4 Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Bukit Beruntung, awal pagi tadi.

Lebih menyayat hati, mangsa, Ahmad Sulaiman Jamin,20, yang terjatuh di lorong tengah lebuh raya turut dilanggar beberapa kenderaan lain yang tidak sempat mengelak berikutan keadaan jalan gelap.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi, motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggangi mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kereta dan terjatuh di lorong tengah.

“Pada masa sama, datang beberapa kenderaan lain dari belakang dan tidak sempat mengelak serta melanggar mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bak Phai berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X