Ahad, 2 Jun 2019 | 2:39pm
Sebuah MPV terbabas lalu merempuh rumah di KM28.7 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Jenerih. - Ihsan PDRM

Dapur rumah dirempuh SUV

MACHANG: Pasangan suami isteri dari Kampung Jenerih, Bongkok di sini, berdepan detik cemas apabila dapur rumah mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sebuah MPV Mazda Biante yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun terbabas lalu merempuh rumah terbabit di Kilometer (KM) 28.7 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Jenerih.

Pemandu itu patah bahu kiri dan dikejarkan ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Pemilik rumah, Mat Rani Mustapha, 62, berkata ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu kerana tidak sihat sebelum dikejutkan isterinya, Latipah Haasan, 63, yang merasai gegaran dari luar rumah.

Katanya, dia kemudian bangun dan melihat bahagian dapur rumah sudah runtuh dan menyedari terdapat sebuah kenderaan berada di bawah runtuhan dengan pemandunya sedang mengerang kesakitan.

“Saya bantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital.

“Disebabkan kemalangan itu, kereta Perodua Kenari dan motosikal milik saya rosak ditimpa runtuhan pagar besi.

“Saya kemudian mengalihkan kereta Mercedes dan Perodua Kelisa kerana bimbang berlaku letupan berikutan terdapat tong gas di bawah runtuhan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mat Rani berkata, dia menanggung kerugian kira-kira RM100,000 selepas dapur, kereta dan motosikalnya rosak.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak ada ahli keluarga saya yang tercedera dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, berkata kenderaan yang dipandu wanita dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu itu terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar dapur sebuah rumah.

“Akibat perlanggaran itu, wanita berkenaan mengalami patah bahu sebelah kiri, luka di bahagian dahi dan bengkak kaki sebelah kanan yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Machang.

“Salah sebuah kereta milik tuan rumah mengalami kerosakan apabila cermin hadapan pecah selain beberapa bahagian badan kereta turut kemik, manakala motosikal pula rosak teruk kerana dihempap batu rumah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X