Khamis, 6 Jun 2019 | 2:58pm
Keadaan kereta selepas merempuh bucu besi penghadang jalan di Kilometer 70.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam. - Ihsan Bomba
Keadaan kereta selepas merempuh bucu besi penghadang jalan di Kilometer 70.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam. - Ihsan Bomba

1 maut, 3 cedera kereta rempuh bucu besi penghadang jalan

KLUANG: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi ahli keluarganya cedera selepas kereta dinaiki merempuh bucu besi penghadang jalan di Kilometer 70.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam.

Ketika kejadian jam 6.30 petang, mangsa, Megat Hafiz Iskandar Megat Aziz, 35, dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Bukit Jelutong, Selangor bersama-sama bapa, ibu dan seorang anak perempuannya berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Honda City dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bucu besi penghadang jalan berkenaan dan kemudian terbabas ke bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa cedera pada bahagian muka dan dada sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Bagaimanapun, bapa mangsa, Megat Aziz Megat Nordin, 69; ibunya, Aminah Abd Rahim, 86, serta anak perempuannya, Puteri Khayra Alysha, 7, hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam. - Ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70.7, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam. - Ihsan Bomba

Mohd Abduh berkata, jenazah Megat Hafiz Iskandar dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mangsa, lewat malam tadi.

Katanya, semua mangsa yang cedera turut menerima rawatan susulan di hospital sama.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan dalam berkeadaan baik dan lurus. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

“Kenderaan mangsa juga akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Berita Harian X