Khamis, 6 Jun 2019 | 4:46pm
Rayyan ditemani ibunya, Norsyahirah, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. - NSTP/Sairien Nafis
Rayyan ditemani ibunya, Norsyahirah, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. - NSTP/Sairien Nafis

Kuat semangat Rayyan

KLANG: Biarpun mengalami kecederaan di kepala dan calar di pipi serta tangan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dari motosikal ditunggangi sepupunya semalam, kelihatan bersemangat ketika dikunjungi ahli keluarganya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, hari ini.

Ahmad Rayyan Jailani yang mengalami kecederaan dalam kejadian pada jam 6 petang semalam di Sungai Sireh, di sini, juga sudah mahu menjamah makanan ketika disuapkan roti oleh ahli keluarganya.

Beliau yang dilawati keluarga dan pemberita juga dilihat melambaikan tangannya ketika disapa.

Ibu mangsa, Norsyahirah Mohd Fauzi, 24, yang ditemui di Wad Kanak-kanak hospital itu berkata, kejadian semalam disedarinya pada jam 6.15 petang selepas seorang jiran sekampung datang memaklumkan kepadanya di rumah ibu mertuanya.

Katanya, sebelum itu, beliau mendapati anaknya tiada bersama-sama ahli keluarga yang tidur di ruang tamu kediaman itu.

“Saya tidak tahu sebelum itu Rayyan keluar bersama-sama sepupunya yang berusia 13 tahun untuk menghantar lauk ke rumah datuknya di Flat Seri Perantau,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Norsyahirah berkata, beliau memang sentiasa memantau di mana anak-anaknya berada termasuk membawa mereka ke kedai pakaian terpakai yang diusahakan dengan suaminya, Jailani Salleh, 28, di Kapar.

Jailani berkata, beliau dimaklumkan selepas menghantar lauk, anak saudaranya mahu ke kedai untuk membeli mercun namun kedai berkenaan tutup, menyebabkan mereka mahu ke kedai lain.

Katanya, apabila sampai di bonggol jalan di tempat kejadian, Rayyan dipercayai terjatuh.

“Abang saudaranya mahu mengangkatnya untuk dibawa pulang, tetapi seorang jiran sekampung yang mengenali anak saudara saya menegahnya dan mahu menghantar anak ke hospital.

“Tidak lama kemudian datang ambulans untuk membawa anak saya ke hospital. Sebaik saya dimaklumkan mengenai kejadian, saya terus bergegas ke HTAR,” katanya.

Kejadian berkenaan tersebar selepas satu klip berdurasi 43 saat tersebar melalui media sosial, yang meminta orang awam menyebarkannya bagi membolehkan ibu bapa kanak-kanak yang tercedera itu tampil.

Berita Harian X