Jumaat, 7 Jun 2019 | 5:05pm
KETUA Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar. - Foto Hairul Anuar Rahim

Gadis British maut kenderaan go-kart dipandu terbabas

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan warga asing maut selepas kenderaan go-kart dipandunya dipercayai terbabas di sebuah pusat sukan ekstrem dalaman di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, seorang lelaki memaklumkan terdengar satu bunyi dentuman yang agak kuat di lokasi kejadian.

“Difahamkan, marshall bertugas kemudian bergegas memeriksa keadaan sebelum memaklumkan mangsa, Chloe Josephine, 18, seorang warga British terbabas ketika memandu go-kart.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, remaja perempuan itu mengalami pendarahan di hidung susulan insiden menimpanya sebelum dikejarkan Hospital Gleneagles, Iskandar Puteri untuk rawatan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat ‘post trauma’ tidak lama selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati kawasan terbabit terdapat kamera litar tertutup (CCTV), namun tidak berfungsi.

“Mayat dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat. Ketika ini, kejadian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

1036 dibaca
Berita Harian X