Sabtu, 8 Jun 2019 | 4:59pm
PENDUDUK Orang Asli Kampung Kuala Koh yang kritikal tibi dihantar ke Hospital Gua Musang dengan bantuan JAKOA. STR/Ramli Ibrahim

Tibi dan kuman di paru-paru punca kematian 13 Orang Asli

GUA MUSANG: Penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru dipercayai menjadi punca kematian 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin berkata, 13 kematian itu dicatatkan dalam tempoh sejak Mei lalu sehingga kelmarin.

Katanya, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’.

“Seorang lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia pada 29 Mei lalu dan wanita berusia 21 tahun meninggal dunia jam 4 petang kelmarin disebabkan jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan batuk teruk.

“Hasil bedah siasat di Hospital Gua Musang mendapati mereka meninggal dunia kerana batuk teruk.

“Siasatan juga mendapati ramai lagi penduduk yang menghidap penyakit yang sama (jangkitan kuman di paru-paru) dan dipercayai tibi termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata seramai 13 orang daripada mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dua daripadanya yang kritikal dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Katanya, mereka yang lain menerima rawatan di Klinik Kesihatan Aring 1 dan Klinik Kesihatan Chiku 3 sebagai pesakit luar.

Berita Harian X