Isnin, 10 Jun 2019 | 9:44am
KEJADIAN seorang lelaki dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di Pekan Ranau yang viral sejak semalam.

Lelaki dipukul, orang ramai diminta tampil bantu siasatan

RANAU: Orang awam yang berada di lokasi diminta tampil memberi kerjasama untuk membantu siasatan susulan rakaman video seorang lelaki dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di Pekan Ranau, yang viral sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Sharull Abdul Wahab, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu lelaki berusia 28 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Katanya, menurut laporan, pada jam 12.15 tengah hari, mangsa yang juga pengadu sedang melalui kawasan belakang sebuah kedai dan melihat sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan Perodua Viva berwarna putih, bertindak seolah-olah mahu menyerang sekumpulan lelaki lain.

“Sebaik menyedari perkara itu, mangsa cuba menjauhkan diri dengan melarikan diri menuju pasar buah-buahan.

“Mangsa yang penat berlari kemudian berhenti untuk berehat, namun tiba-tiba dipukul dua lelaki warga asing menggunakan batang besi berukuran 41 sentimeter,” katanya ketika dihubungi semalam.


KEADAAN mangsa selepas dipukul dua lelaki warga asing menggunakan batang besi di Pekan Ranau.

Mohd Sharul berkata mangsa mendakwa dipukul sebanyak tiga atau empat kali di bahagian belakang kepala serta badan sebelum mangsa berjaya merebut batang besi berkenaan manakala kedua-dua suspek bertindak melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa dirawat di Hospital Ranau dan menerima enam jahitan di bahagian belakang kepala.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-2956467 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Sharul menasihatkan orang awam supaya jangan membuat spekulasi atau bertindak sendiri berhubung kejadian itu.

998 dibaca
Berita Harian X