Isnin, 10 Jun 2019 | 10:16am
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Tapah-Cameron Highlands, Tapah, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Tapah-Cameron Highlands, Tapah, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Ajal 2 rakan bersama

TAPAH: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha Y125ZR yang ditunggang mereka merempuh kereta Proton Saga di Kilometer 2, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kedua-dua mangsa iaitu penunggang, K Yoganathan,19, dan S Dinesh,18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah selepas dua jam bertarung nyawa akibat parah di beberapa bahagian badan.

Difahamkan, pemandu Proton Saga berusia 27 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Tapah menghala ke Cameron Highlands manakala kereta dipandu seorang lelaki itu dalam perjalanan menghala ke pekan Tapah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan sebelum penunggang motosikal, Yoganathan, meninggal dunia jam 1.21 pagi manakala pembonceng, Dinesh, jam 2.12 pagi.

“Bedah siasat terhadap mayat kedua-dua mangsa akan dijalankan jam 10 pagi ini di Unit Forensik Hospital Tapah,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, semakan dijalankan polis mendapati penunggang motosikal berkenaan tidak mempunyai lesen dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X