Isnin, 10 Jun 2019 | 11:29am
KEADAAN kebakaran di Kampung Karamunting, Sandakan. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Cuai punca kebakaran

SANDAKAN: Kebakaran memusnahkan puluhan rumah di Kampung Karamunting, dekat sini, kelmarin, dipercayai berpunca daripada kecuaian penghuni.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, berkata kejadian kebakaran itu adalah kali keempat sejak beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu.

“Saya dimaklumkan kebakaran disyaki berpunca daripada kecuaian ketika memasak dan saya ingin tegaskan supaya penduduk Batu Sapi jangan tinggalkan penghuni yang sudah berusia serta kurang upaya di rumah.

“Apabila berseorangan dan lapar, mereka masuk ke dapur untuk memasak sehingga menyebabkan berlaku kebakaran,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Surau Kampung Karamunting, semalam.

Terdahulu, Liew berkata, dia difahamkan jumlah keseluruhan rumah yang musnah adalah sebanyak 36 rumah.

Sementara itu, seorang penduduk, Awang Kecil Mudin, 53, berkata, ketika kejadian, wanita berusia 70-an yang juga jirannya disyaki memasak di dapur selepas bersendirian di rumah.

“Selepas berlaku kebakaran, warga emas itu menjerit meminta tolong kerana terperangkap di dalam rumah.

“Mujur anak lelaki saya bertindak masuk ke rumah itu dan menyelamatkannya dengan membawanya ke kawasan selamat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang itu, menurut laporan awal sebanyak 23 rumah hangus terbakar.

Ketika kejadian ramai penduduk tiada di rumah dan sedang berhari raya di tempat lain.

Berita Harian X