Isnin, 10 Jun 2019 | 12:31pm
FADZIL Ahmad meninggal dunia selepas selesai solat Maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
FADZIL Ahmad meninggal dunia selepas selesai solat Maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Anggota polis meninggal selepas solat

SUNGAI PETANI: Seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor meninggal dunia selepas selesai solat Maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, di sini, malam tadi.

Fadzil Ahmad, 60, dikatakan rebah ketika bacaan zikir sedang dibacakan imam kira-kira jam 7.45 malam.

Anak arwah, Siti Nuraida, 32, berkata ayahnya singgah solat di masjid itu ketika dalam perjalanan ke rumah di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik selepas pulang dari kampung di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Tengah hari semalam, arwah ayah ada ke majlis kenduri perkahwinan di Sungai Petani bersama adik (Muhammad Syafiq, 20) sebelum mereka pulang ke kampung untuk menemui saudara.

“Menurut adik, ayah ada mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas mereka pulang dari majlis kenduri itu, namun arwah masih dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Siti Nuraida berkata, arwah ayahnya dikatakan tidak mengalami masalah ketika solat Maghrib sehinggalah arwah kembali mengadu sakit dada ketika bacaan zikir selepas solat.

“Ayah beritahu adik yang dia sakit dada sambil memegang dadanya ketika imam membacakan zikir dan arwah tiba-tiba rebah tidak lama kemudian,” katanya.

Anak kedua arwah itu mengakui, ayahnya seorang yang mengutamakan solat jemaah di masjid serta solat tahajud dan arwah juga begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya.

“Memandangkan arwah kini sedang bercuti bersara yang dijangka pada 14 Julai ini, masanya banyak dihabiskan di surau IPD Sik.

“Arwah juga antara yang bertanggungjawab melaungkan azan di surau kuarters IPD sepanjang Ramadan lalu,” katanya.

Beliau berkata, jenazah arwah bapanya itu akan dikebumikan pada 11.30 pagi ini di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Berita Harian X