Selasa, 11 Jun 2019 | 4:46pm

Kes rompak barang kemas RM5 juta: Polis rakam keterangan 10 individu

SHAH ALAM: Polis merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes rompakan premis menjual barang kemas yang dipecah masuk melalui lubang saluran angin di Pusat Komersial Seksyen 7, di sini ketika cuti Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib, berkata antara individu berkenaan adalah pemilik premis, rakan kongsi perniagaan, pekerja dan pengawal keselamatan.

“Ia prosedur biasa untuk polis melengkapkan siasatan serta bagi mengesan penjenayah yang bertanggungjawab melakukan rompakan ini.

“Kami turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian serta premis berdekatan yang penting berikutan dekoder CCTV di lokasi jenayah dibawa lari perompak,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Baharudin berkata, alat pemotong besi yang ditemui di tempat kejadian juga sudah dihantar ke makmal forensik.

“Polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini tampil membantu siasatan,” katanya.

Media semalam melaporkan perompak menggunakan lubang saluran angin di belakang premis berkenaan yang beroperasi sejak Januari lalu dan melarikan barangan kemas dianggarkan bernilai lebih RM5 juta.

Kehilangan barangan kemas disimpan dalam empat peti besi di bilik kebal dalam premis itu hanya disedari pada jam 10 pagi kelmarin oleh pemilik premis berusia 45 tahun yang mahu memulakan perniagaan selepas cuti Aidilfitri.

Penjenayah dipercayai menggunakan mesin pemotong besi bagi menebuk pintu bilik kebal dan peti besi kedai emas terbabit.

Berita Harian X