Selasa, 11 Jun 2019 | 7:07pm
LOKASI penemuan sebuah kotak berisi mayat seorang wanita cina berumur 33 tahun dibuang di Taman Setia Indah Johor Bahru. NSTP/Ihsan PDRM

'Kakak banyak rahsiakan hubungan'

JOHOR BAHRU: Wanita yang ditemui mati dibunuh sebelum disumbat dalam kotak kelmarin, dikatakan kembali bersama kekasihnya selepas empat tahun memutuskan hubungan.

Adik lelaki mangsa yang enggan namanya disiarkan, berkata kakaknya amat berahsia mengenai hubungan berkenaan.

“Saya percaya kakak kembali bersama teman lelakinya selepas empat tahun memutuskan hubungan demi melindungi keluarga terutama anak perempuannya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru di sini, hari ini.

Beliau berkata, kakaknya mempunyai anak perempuan berusia enam tahun hasil bersama lelaki itu dan memutuskan hubungan selepas mengetahui suspek sudah berkahwin.

“Awal tahun lalu, kakak saya kembali bersamanya kerana bimbang dengan keselamatan keluarga. Dia sayangkan anak perempuannya dan sentiasa mahu keselamatan anaknya terjamin,” katanya

Semalam, mayat seorang wanita berusia 33 tahun ditemui disumbat dalam kotak kayu dengan kanvas membaluti tubuhnya selain disaluti simen plaster siling di Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Daya, dekat sini.

Polis percaya mangsa adalah wanita yang dilaporkan hilang sejak 28 Mei lalu sebelum dibunuh oleh kekasihnya yang juga pembuat gigi palsu.

Adik mangsa yang berusia 29 tahun, berkata keluarganya masih menunggu untuk menjalani proses pengecaman mayat di HSA dan berharap mayat ditemui bukan kakaknya.

Katanya, kakaknya yang meninggalkan anak di bawah jagaan ibu mereka, banyak merahsiakan hubungannya dengan lelaki itu namun mereka yakin dia pernah dikasari berdasarkan parut pada tubuhnya.

Berita Harian X