Rabu, 12 Jun 2019 | 10:36am
Pasukan Bomba dan Penyelamat Jerantut bertungkus lumus membersihkan jalan akibat pokok tumbang di Paya Teratai, Jalan Padang Piol-Jerantut. - NSTP/Roselan Ab Malek

Anggota polis, isteri nyaris maut rempuh pokok tumbang

JERANTUT: Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh sebatang pokok yang tumbang dekat Paya Teratai, Jalan Padang Piol-Jerantut petang semalam.

Difahamkan, hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan pokok kempas itu tumbang melintang jalan dan menghalang lalu lintas dari kedua arah.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Lans Koperal Ramlan Drahman, 30, dan isterinya, Norazizah Ibrahim, 27, bernasib baik kerana hanya cedera ringan walaupun bahagian hadapan kereta Proton Exora mereka rosak teruk.

Ramlan yang bertugas di Pondok Polis Kampung Bantal, Ulu Tembeling, dekat sini, berkata dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas selesai urusan di bandar Jerantut.

“Sebelum itu saya sudah rasa tidak sedap hati, namun terpaksa pulang sebelum malam kerana perjalanan mengambil masa hampir tiga jam untuk sampai ke rumah kami.

“Saya memandu dengan perlahan kerana keadaan persekitaran gelap ekoran hujan lebat dan tiba-tiba kereta saya melanggar pokok yang tumbang merintangi jalan itu.

“Kami berdua bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang membantu mereka.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas kira-kira satu kilometer di kedua-dua arah selama hampir dua jam.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Osman Malik berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.41 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

“Saya bersama lima anggota dibantu anggota APM, polis dan orang awam berjaya membersihkan sisa pokok yang tumbang itu dalam masa 30 minit,” katanya.

Berita Harian X