Rabu, 12 Jun 2019 | 4:40pm
SEORANG lelaki maut, manakala anaknya cedera dibelasah sekumpulan warga asing selepas dituduh mencuri dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit berhampiran surau di Kampung Petagas, Putatan, kelmarin. - Foto ihsan pembaca

Bapa maut, anak cedera dibelasah

PENAMPANG: Seorang lelaki maut, manakala anaknya cedera dibelasah sekumpulan warga asing selepas dituduh mencuri dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit berhampiran surau di Kampung Petagas, Putatan, di sini, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Abdul Shukur Abdullah, 57, disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1).

Anak mangsa, Mohammad Jumaskur Abdul Shukur, 31, masih menerima rawatan di QEH1.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia semalam.

Sebelum itu, Mohd Haris berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.11 malam berhubung kejadian itu daripada pengadu yang juga anak perempuan mangsa mengatakan bahawa bapa dan adik lelakinya berusia 30-an dipukul sekumpulan lelaki.

“Hasil siasatan awal mendapati, pengadu diberitahu bahawa ayah dan adiknya dipukul di hadapan sebuah kedai runcit berhampiran sebuah surau di Kampung Petagas.

“Apabila pengadu tiba di lokasi kejadian, pengadu mendapati ayahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala adiknya terbaring mengerang kesakitan serta mengadu sakit di tangan dan kaki sebelah kanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Haris berkata, pengadu dimaklumkan oleh adiknya bahawa dia dipukul sekumpulan warga asing dipercayai rakan kepada pemilik kedai terbabit kerana dituduh mencuri.

“Pengadu kemudian membawa ayahnya ke hospital dengan bantuan orang ramai menggunakan ambulans dan dimasukkan ke zon kritikal manakala adiknya dalam keadaan separa sedar.

“Bagaimanapun, polis menerima maklumat bahawa ayah pengadu disahkan meninggal dunia. Bagaimanapun, perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Haris berkata, susulan kejadian itu, polis turut menahan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30 dan 40 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Sebelum ini, satu video berdurasi lapan minit 42 saat tular di Facebook sejak semalam menunjukkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dipercayai dipukul dalam kejadian itu.

Berita Harian X