Khamis, 13 Jun 2019 | 12:01am
Datuk Seri Ahmad Hamzah (kanan) kekal sebagai anggota Parlimen Jasin. - Foto BERNAMA

'Sistem kehakiman, perundangan negara diyakini rakyat' - Ahmad Hamzah

JASIN: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengekalkan kemenangan Datuk Seri Ahmad Hamzah bagi kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), diterima wakil Barisan Nasional (BN) itu dengan penuh kesyukuran.

Sambil menganggap keputusan berkenaan sebagai tepat, Ahmad berkata, ia juga menjadikan sistem kehakiman dan perundangan negara terus diyakini oleh rakyat.

“Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan keputusan ini.

“Insya Allah, saya akan terus memberikan perkhidmatan dan menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya kepada masyarakat dalam Parlimen Jasin,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengekalkan kemenangan Ahmad bagi kerusi Parlimen itu.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas mendapati keputusan SPR yang melayakkan Ahmad menang di parlimen itu adalah sah dan tidak batal serta tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahkamah turut memerintahkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan selaku pempetisyen membayar kos sebanyak RM200,000 kepada Ahmad selaku responden pertama dan RM200,000 lagi kepada responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRU-14, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru, yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi, manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi dan calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lalu menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau yang memohon perintah perisytiharan keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah, mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan.

Berita Harian X