Khamis, 13 Jun 2019 | 12:09am

MCMC akan ambil tindakan pihak sebar kandungan lucah di internet

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memuat naik, menyebar atau berkongsi kandungan berunsur lucah di internet.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, perkara berkenaan selari dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan pihak yang melanggar undang-undang itu boleh dipenjara selama setahun, dikenakan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pihak MCMC akan menyiasat kes penyebaran kandungan berunsur jelik dan lucah serta akan menyekat laman sesawang yang didapati menyebarkan kandungan berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, kerjasama dengan pihak pengendali platform seperti Facebook turut diambil untuk memastikan kandungan lucah berkenaan tidak tular.

Suruhanjaya itu juga akan terus mengambil langkah sewajarnya dalam memantau penyebaran kandungan yang menyalahi peruntukan undang-undang negara.

“Pihak MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X