Khamis, 13 Jun 2019 | 12:09pm
KEADAAN tiga blok rumah pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan Kemena yang musnah dalam kebakaran. - Foto Erika George
KEADAAN tiga blok rumah pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan Kemena yang musnah dalam kebakaran. - Foto Erika George

130 pekerja hilang tempat tinggal

BINTULU: Seramai 130 pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan, Kemena, di sini hilang tempat tinggal selepas tiga blok kediaman didiami mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua penghuni yang kebanyakannya warga asing sedang nyenyak tidur, namun sempat menyelamatkan diri sejurus kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata dua jentera bomba, termasuk Unit Perkhidmatan Rawatan Kecemasan (EMRS) bersama 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan memusnahkan tiga blok rumah pekerja yang terletak hanya tiga meter antara satu sama lain.

KEADAAN tiga blok rumah pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan Kemena yang musnah dalam kebakaran. - Foto Erika George
KEADAAN tiga blok rumah pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan Kemena yang musnah dalam kebakaran. - Foto Erika George

“Api merebak terlalu pantas kerana blok kediaman pekerja itu adalah dari jenis struktur tidak kekal,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya mengambil masa selama sejam bagi memadam kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.57 pagi.

“Mujur tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal dari merebak ke tiga lagi blok rumah pekerja yang terletak kira-kira enam meter dari blok rumah pekerja yang terbakar,” katanya.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta anggaran kerugian dialami.

Berita Harian X