Khamis, 13 Jun 2019 | 4:45pm
ABDUL Hamid Bador

Polis sudah buka kertas siasatan isu video lucah

PUTRAJAYA: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Polis katanya, tidak menolak kemungkinan untuk memanggil individu yang didakwa terbabit dalam video itu bagi membantu siasatan.

“Kita ambil tindakan sebagaimana biasa. Bila ada laporan polis kita (akan) buka kertas siasatan.

“Dalam proses siasatan, (individu yang didakwa dalam video) boleh dipanggil atau boleh tidak dipanggil. Ia bergantung kepada mana yang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak Selasa dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Abdul Hamid berkata setakat ini polis hanya menerima satu laporan berhubung penyebaran video lucah itu.

Dalam pada itu, ditanya sama ada individu yang menyebarkan video berkenaan boleh diambil tindakan, Abdul Hamid menjawab ringkas, boleh.

646 dibaca
Berita Harian X