Ahad, 16 Jun 2019 | 8:57am
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

73 individu ditahan berkaitan kesalahan dadah

KOTA KINABALU: Polis menahan 73 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam 22 serbuan Ops Sarang di sekitar bandar raya ini selama seminggu yang berakhir kelmarin.

Semua suspek berusia 19 hingga 64 tahun ditahan di Kampung Air, Sinsuran, pekan Inanam, Kampung Likas, Sembulan dan Manggatal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Beliau berkata, 31 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah, manakala 40 lagi didapati positif dadah dan dua membabitkan bekalan dan pengedaran dadah.

Sebahagian daripada 73 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam 22 siri serbuan Ops Sarang di sekitar bandar raya ini yang dijalankan selama seminggu. - Foto ihsan PDRM
Sebahagian daripada 73 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam 22 siri serbuan Ops Sarang di sekitar bandar raya ini yang dijalankan selama seminggu. - Foto ihsan PDRM

“Daripada 73 tangkapan itu, seramai 60 suspek warga tempatan dan 13 lagi warga asing.

“Sepanjang tempoh operasi itu, polis merampas 16.22 gram dadah jenis syabu dan 5.06 gram dadah jenis Ketamin. Nilai rampasan RM3,192 mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Katanya, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya diperhebat dari semasa ke semasa bagi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Sebagai langkah untuk mengurangkan masalah penagihan, polis berjaya menahan seramai 41 penagih berulang sepanjang Januari hingga Jun 2019.

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 39C(1) ADB 1952,” katanya.

Berita Harian X