Isnin, 17 Jun 2019 | 2:16pm
BAPA kepada kanak-kanak Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia hari ini, Rosli Jong reda dengan pemergian anaknya. STR/Nik Abdullah Nik Omar.

Orang Asli: Bapa reda pemergian anak

KOTA BHARU: Bapa kepada kanak-kanak Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia hari ini, reda dengan pemergian anaknya itu selepas lapan bagi menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini.

Rosli Jong, 30, berkata anak bongsu daripada lima beradik, Nasri, 3, itu meninggal dunia pada jam 6.45 petang semalam.

“Saya reda dengan pemergian anak dan mayatnya akan dibawa ke Kampung Kuala Koh, Gua Musang untuk dikebumikan.

“Walaupun sedih dengan pemergian anak, namun saya perlu kuat untuk meneruskan hidup demi empat anak yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, anaknya itu akan dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai.

Rosli yang masih bersedih dengan pemergian anak berharap perkara itu akan selesai secepat mungkin demi keselamatan penduduk di kampungnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Nasri adalah antara lima penduduk Orang Asli suku Batek yang menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU), termasuk antara 112 penduduk dari Kuala Koh menjalani rawatan selepas menghidap penyakit yang belum diketahui punca.

Penyakit itu juga menyebabkan 14 kematian dalam tempoh sebulan dan dua daripadanya dilaporkan menghidap penyakit radang paru-paru.

Sementara itu, Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazali, berkata bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu akan diadakan di Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.

Katanya, mayat kanak-kanak berkenaan dibawa dari HRPZ II ke HGM dengan menaiki van jenazah dan diiringi bapa mangsa.

“Bedah siasat akan dijalankan di HGM oleh pasukan pakar forensik yang ada di sana,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, di sini, hari ini.

Berita Harian X