Isnin, 17 Jun 2019 | 3:33pm

Warga emas ditahan tembak tupai sesuka hati

JEMPOL: Seorang warga emas berusia 62 tahun ditahan selepas polis menerima aduan berhubung tindakan lelaki itu yang melepaskan tembakan membunuh tupai sesuka hati, di FELDA Palong Lapan, di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata kejadian jam 8 pagi Sabtu lalu itu disedari seorang penduduk yang juga jiran warga emas berkenaan.

Katanya, jiran wanita berusia 40-an itu pada mulanya terdengar bunyi tembakan sebelum mengintai dari tingkap rumah dan ternampak kelibat suspek sedang memegang senapang menghala ke arah pokok durian di hadapan rumahnya.

“Pada jam 2 petang, suspek datang ke rumah wanita itu dan menebang pokok durian di hadapan rumahnya, menyebabkan wanita itu keluar bertanyakan tindakan suspek menembak dan menebang pokok durian berkenaan.

“Bagaimanapun, wanita itu dimarahi suspek dan memberitahu dia hanya menyewa di situ dan tiada hak untuk menghalangnya menembak serta menebang pokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, wanita terbabit kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes pada jam 4 petang hari sama.

Katanya, siasatan mendapati suspek berbuat demikian bagi menembak tupai yang ada di atas pokok durian di hadapan rumah wanita berkenaan, selain mendakwa pokok ditebangnya itu bagi menghalang tupai berteduh di situ.

“Suspek yang ditahan kemudian dibebaskan pagi tadi selepas keterangan diambil, manakala senapang patah miliknya dirampas.Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Berita Harian X