Isnin, 17 Jun 2019 | 6:10pm
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (dua dari kanan) ketika sidang media di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman. - NSTP/Aizuddin Saad

Pasukan khas ditubuh siasat video lucah dikaitkan dengan menteri

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menjalankan siasatan berhubung video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan seorang ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pasukan khas itu yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan menyiasat 17 laporan dan 21 keterangan yang direkodkan setakat ini.

Mazlan berkata, pasukan khas itu juga akan mendapat bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan kes itu membabitkan penyebaran klip video menerusi internet.

“Pasukan khas itu bersama unit forensik akan bekerjasama dengan SKMM berhubung siasatan video yang tersebar itu.

“Setakat ini, belum ada keperluan untuk meminta bantuan dari luar negara. Mengenai ketulenan video terbabit, kita masih tunggu laporan daripada unit forensik. Siasatan diteruskan namun kita tidak boleh dedahkan secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Kelmarin, Haziq yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah itu, dibebaskan dengan jaminan polis dengan seorang penjamin.

Mengulas mengenai keperluan sekatan Haziq ke luar negara, Mazlan berkata, hasil soal siasat pihaknya dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu sudah mencapai persetujuan untuk tidak mengeluarkan arahan sedemikian.

“Mahu larikan diri atau urusan lain tidak penting, Haziq beri kerjasama yang baik (tidak perlu sekat Haziq ke luar negara).

“Kita berkomunikasi secara dua hala,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, Azmin akan dipanggil untuk dirakamkan keterangan dalam masa terdekat.

“Perkara itu dalam tindakan polis (panggil Mohamed Azmin),” katanya.

Semalam, Azmin dilaporkan akan memberi keterangan kepada polis sama ada hari ini atau esok.

Berita Harian X