Selasa, 18 Jun 2019 | 1:44pm

Bunuh isteri kerana cemburu

KOTA KINABALU: Cemburu punca seorang lelaki menikam isterinya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah kongsi kilang di Likas, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu akhirnya berjaya diberkas polis.

“Hasil siasatan mendapati, punca wanita berusia 61 tahun ditikam suaminya sebanyak dua kali di bahagian belakang adalah dipercayai akibat cemburu.

“Suspek bertindak luar kawalan sehingga menikam isterinya selepas dia percaya bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Habibi berkata, suspek juga didapati cedera di bahagian leher kerana menikam dirinya sendiri menggunakan pisau yang digunakan untuk menikam isterinya, namun polis berjaya meredakan keadaan ketika itu.

“Suspek dihantar ke hospital dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Dia sudah ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, berlaku pertengkaran antara mangsa, Ayang Hamjani, 62, dengan suaminya di rumah kongsi berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang ditikam kemudian dilaporkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

Suspek dalam pada itu juga dipercayai bertindak luar kawalan dengan membakar rumah kongsi pekerja yang mereka diami namun sempat dipadamkan dengan bantuan pasukan bomba.

Berita Harian X