Selasa, 18 Jun 2019 | 4:00pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. - NSTP/Danial Saad
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. - NSTP/Danial Saad

Penganggur tikam polis guna pemutar skru ditahan

BUKIT MERTAJAM: Seorang penganggur ditahan kerana mencederakan anggota polis menggunakan pemutar skru di Kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Malaysia-Kuwait di Permatang Tinggi, Bukit Tengah, di sini malam tadi.

Sebelum kejadian kira-kira jam 7.30 malam, suspek berusia 39 tahun pada mulanya ditahan anggota polis yang sedang meronda di kawasan itu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata suspek bagaimanapun secara tiba-tiba menyerang anggota polis, Koperal Mohd Azmi Satiman dengan pemutar skru sebelum berlaku pergelutan.

“Suspek menikam perut dan lengan kiri mangsa menggunakan pemutar skru. Dia bagaimanapun berjaya ditangkap dan barang kes juga dirampas,” katanya.

Katanya, Mohd Azmi, anggota kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagaimanapun hanya mengalami luka pada tangan kiri dan menerima tiga jahitan di Hospital Bukit Mertajam.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia kini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X